Pages

Tuesday, May 17, 2011

Petua Keselamatan Anak

Hari ni nak kongsi apa yang saya baca dalam akhbar hari ni, Berita Harian bertajuk Petua Keselamatan  Anak. Memang anak-anak terutama dalam peringkat membesar amat memerlukan perhatian dan pengawasan daripada kita sebagai ibu dan bapa. Jadi seboleh-bolehnya tika berada di rumah atau ke mana-mana bersama, pastikan soal keselamatan mereka dititikberatkan. Bagi ibubapa yang kedua-duanya bekerja, tentulah mengharapkan anak-anak dijaga dengan selamat dibawah jagaan pengasuh. Macam saya, anak yang kecil berumur 3 tahun ditinggalkan di nurseri manakala abang-abangnya ke sekolah rendah, seorang di Alor Setar dan seorang di Jitra. Setiap kali selepas solat, saya akan berdoa kepada Allah s.w.t agar memberi perlindungan buat anak-anak saya di mana sahaja berada kerana kita keluar bekerja dan berjauhan sebentar dari anak-anak yang kita sayangi.

Petua Keselamatan Anak
Sumber : Berita Harian
2011/05/17

1. Jangan sekali-kali tinggalkan bayi atau kanak-kanak bersendirian atau terkunci di dalam bilik.

2. Simpan semua sabun pembersih, pencuci kotoran dan bahan kimia lain yang berbahaya di tempat yang selamat dan tidak boleh dicapai kanak-kanak atau di dalam almari berkunci. Jangan isi bahan ini dalam bekas lain kerana kanak-kanak mungkin terkeliru dan menyangka ia makanan atau minuman.

3. Simpan barang kemas, pewangi, tali pinggang, tudung dan tali leher di tempat yang tidak boleh dicapai kanak-kanak.

4. Apabila memasak, sama ada di dapur atau di luar rumah ((BBQ, kenduri dan sebagainya), jangan benarkan kanak-kanak berada berdekatan dengan kawasan memasak sepanjang masa. Bahan bakar seperti mancis dan lilin perlu disimpan di tempat yang selamat.

5. Pastikan pemasangan wayar elektrik di rumah anda selamat. Jangan bebankan plak elektrik dengan pelbagai peralatan atau menyorokkan wayar elektrik di bawah permaidani atau tikar. Pastikan tiada kerosakan pada bahagian luar wayar elektrik.

6. Gunakan penutup soket plak bagi menghalang anak anda daripada memasukkan jarinya atau benda lain ke dalamnya.

7. Lap sebarang tumpahan di lantai dengan segera untuk mengelakkan daripada tergelincir dan terjatuh.

8. Simpan peti bantuan kecemasan yang lengkap di rumah dan pastikan setiap orang dewasa dalam rumah tahu di mana letaknya peti ini.

9. Anda digalakkan menggunakan alat pemadam api dan pengesan asap di dalam rumah. Patuhi jadual selenggaraan alat ini.

10. Berhenti merokok. Merokok membahayakan kesihatan. Ia juga boleh mengakibatkan kebakaran.

11. Jangan tinggalkan anak berdekatan air, walaupun kelihatan cetek. Ini termasuk kolah mandi. Ini kerana anak anda mungkin lemas di dalam air sedalam beberapa sentimeter saja.

12. Adakan jalan keluar dari rumah jika berlaku kecemasan seperti kebakaran. Beritahu semua ahli keluarga, termasuk kanak-kanak mengenai tempat berkumpul di luar rumah jika berlaku kebakaran.

13. Simpan semua ubat di dalam kabinet yang berkunci. Jangan tinggalkan ubat-ubatan di atas meja dapur atau meja bersebelahan katil. Jangan beritahu anak bahawa ubat adalah “gula-gula”. Jangan makan ubat di depan anak.

Sumber: Panduan Pencegahan Kecederaan Kanak-kanak, Persatuan Pediatrik Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...